www.sagadbl.com

 

Tuesday, January 29, 2013

SAINS TINGKATAN 2 [Pengelasan Haiwan]

0 comments

Pengelasan Haiwan


Haiwan dapat dikelaskan berdasarkan kepada ciri-ciri sepunya mereka. Pengelasan haiwan dapat dibahagikan kepada dua iaitu vertebrata dan invertebrata.
Haiwan Vertebrata
Haiwan vertebrata adalah haiwan yang mempunyai tulang belakang. Vertebrata yang berdarah panas mengekalkan suhu badan mereka pada tahap yang tetap. Vertebrata yang berdarah sejuk mempunyai suhu badan yang berubah-ubah mengikut suhu di sekeliling. Vertebrata dapat dibahagikan kepada lima kumpulan yang utama iaitu mamalia, amfibia, reptilia, burung dan ikan.
Mamalia
Ciri-ciri mamalia ialah:
1) badan dilitupi dengan rambut atau bulu,
2) bernafas melalui peparu,
3) berdarah panas,
4) melahirkan anak kecuali platipus dan tenggiling yang bertelur,
5) melakukan persenyawaan dalam; anak membesar di dalam badan ibu sebelum dilahirkan,
6) kebanyakan mamalia  hidup di darat; ikan lumba-lumba dan ikan paus hidup di dalam air.
7) Contoh mamalia ialah orang utan, gajah, beruang, kucing, lembu dan arnab.
Ikan
Ciri-ciri ikan ialah:
1) hidup di dalam air,
2) bernafas melalui insang,
3) melakukan persenyawaan luar,
4)berdarah sejuk,
5) dilitupi kulit bersisik berlendir dan
6) mempunyai telur yang tidak bercangkerang.
Amfibia

Ciri-ciri amfibia ialah:
1) boleh hidup di air dan di darat,
2) bernafas menggunakan insang semasa kecil dan peparu semasa dewasa,
3) berdarah sejuk,
4) mempunyai kulit yang lembap,
5) melakukan persenyawaan luar,
6) bertelur tanpa cangkerang.
7) Contoh amfibia ialah katak dan kodok.
Reptilia
Ciri-ciri reptilia:
1) berdarah sejuk,

2) bernafas dengan menggunakan peparu,
3) mempunyai kulit bersisik dan kering,
4) melakukan persenyawaan dalam,
5) bertelur dan telur bercangkerang.
6) Contoh reptilia ialah ular, cicak, buaya, penyu dan biawak.
Burung

Ciri-ciri burung ialah:
1) berdarah panas,
2) bernafas melalui paru-paru,
3) badan dilitupi bulu pelepah,
4) melakukan persenyawaan dalam.
5) telur bercangkerang keras.
Haiwan Invertebrata
Haiwan invertebrata pula ialah haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang. Kebanyakan invertebrata tinggal di dalam air kerana
air boleh membantu menampung berat badannya. Invertebrata adalah kumpulan haiwan yang paling banyak bilangannya di bumi ini. Sesetengah invertebrata mempunyai kulit atau cangkerang keras bagi melindungi diri seperti ketam dan kumbang. Sesetengah invertebrata berbadan lembut menggunakan bendalir badannya untuk tujuan sokongan seperti cacing tanah dan lintah. Pada amnya, invertebrata boleh dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu yang berkaki dan yang tidak berkaki. Contoh haiwan invertebrata yang lain ialah belalang, lipas, lipan, siput, obor-obor, rama-rama dan kalajengking.

0 comments:

ANDA PELAWAT YANG KE: